Gambar hiasan

KESULTANAN Melaka pernah menjadi kesultanan ulung yang mengemudi Kepulauan Melayu sebagai pusat ketamadunan maritim di Asia Tenggara. Keunggulan Melaka tidak kekal lama kerana kesultanan ini akhirnya runtuh dijarah dan dijajah Portugis pada tahun 1511. Kelangsungan pusat kekuasaan Melayu akhirnya berpindah ke Aceh yang sedang meningkat naik sebagai pusat perdagangan dan kesultanan Johor yang ditubuhkan pada tahun 1528 oleh waris kesultanan Melaka.

Perlu diingat bahawa tidak seperti Brazil, Portugis tidak menguasai keseluruhan wilayah Semenanjung Melayu yang rata-ratanya masih bebas merdeka kerana mereka hanya menumpukan kuasa pentadbiran mereka di dalam ruang lingkup kota A Famosa. Persaingan menguasai Selat Melaka serta wilayah Sumatera dan Semenanjung Melayu telah menyebabkan Aceh, Portugis dan Johor terjerumus ke dalam Perang Tiga Segi lebih seabad lamanya.

Meskipun kedua-dua kesultanan Aceh dan Johor adalah kesultanan Islam dan Melayu, kedua-dua entiti politik ini enggan bekerjasama untuk mengusir Portugis dari Melaka. Sebaliknya kedua-dua kesultanan rumpun Melayu ini bertindak memerangi satu sama lain memungkinkan kependudukan Portugis bertahan lebih lama dinaungi Kubu A Famosa.

Kedatangan Belanda ke Semenanjung Melayu telah mengubah segala-galanya. Bagi mengusir Portugis keluar dari Melaka, Johor telah bekerjasama dengan Belanda untuk memerangi Portugis. Setelah berperang dengan begitu hebat, Portugis akhirnya diusir keluar dari Melaka pada tahun 1641. Memang benar pakatan yang dibentuk oleh pihak Johor dan Belanda ini telah berjaya mengusir Portugis tapi apakah yang berlaku setelah itu?

Walaupun Johor memenangi perang, tetapi wilayah Melaka telah menjadi milik Belanda dan tidakpun diserahkan semula kepada Johor. Melaka kekal menjadi milik Belanda sehingga ditukarkan kedaulatan ke atasnya kepada pihak Inggeris pada tahun 1824. Melaka merdeka sebagai negeri di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 dan membentuk sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963.

Akibat perpecahan dan tiada kesepakatan daripada kesultanan-kesultanan Melayu sendiri, Melaka akhirnya terjajah selama 446 tahun. Bayangkan sekiranya Kesultanan Johor dan Aceh bergabung bagi menghadapi Portugis, kemungkinan kuasa penjajah ini dapat diusir tanpa kehadiran Belanda. Bukan tidak pernah kuasa Nusantara mengusir penjajah. Sebagai contoh Raja Fatahillah, Panglima Pasukan Cirebon yang bersekutu dengan Demak telah berhasil mengusir Portugis dari Sunda Kalapa (sekarang Jakarta) pada tahun 1527.

Bendahara Sakam, Panglima Brunei yang mashyur ini juga telah berjaya menghalau Sepanyol keluar dari Brunei pada tahun 1578. Tetapi, sayangnya Johor telah memilih bekerjasama dengan Belanda untuk mengusir Portugis dan hasilnya, Melaka tetap terjajah dan tidak dikembalikan kepada pemilik asalnya untuk empat dekad yang mendatang. Setelah merdeka, senario telah berubah dan seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab membangun dan mempertahankan kedaulatan negara.

Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, negara dibelenggu ketidakstabilan politik yang telah merencat pembangunan negara dan kemaslahatan rakyat. Setelah berakhirnya PRU ke-15, politik negara masih lagi dibelenggu ketidakstabilan dan ketidaktentuan. Pemimpin-pemimpin perlu belajar dari sejarah bahawa perpecahan tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Tidakkah terdapat satu pun yang dapat dipelajari daripada sejarah kegagalan
Aceh dan Johor bersatu menentang Portugis?

Jangan sampai negara tergadai akibat perbalahan politik yang tidak berkesudahan.

Mohd Hazmi Mohd Rusli
Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia.

1 Komen

  1. Yang berkumpul di Seri Pacific semalam rata2 pemimpin Melayu UMNO. Dikatakan nak bincang negotiate nak tubuh kerajaan DAP! Nampak bunyi macam pelik tapi dah terjadi pun di Perak… ini semua specis muka tak malu, gila kuasa. Pesan akar umbi jadilah pembangkang yang bermaruah dan ada harga diri, jadilah diri sendiri bukan seperti Bersatu, Pas atau yg lain…kah..kah..kah…

Comments are closed.