Mayat wanita Myanmar itu ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di Apartmen Taman Kilangin di Jalan Sungai, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Seorang lelaki warga Myanmar bertindak menikam teman wanitanya sebelum bertindak terjun dari tingkat 8 hanya kerana tidak puas hati mangsa enggan meneruskan hubungan cinta dalam kejadian di Apartmen Taman Kilangin di Jalan Sungai, di sini, hari ini.

Mayat Khin Nyein, 30, ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di hadapan rumahnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang emas itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tusukan pisau di badan.

Saravanan.

Jelas beliau, saksi berusia 23 tahun yang juga rakan mangsa mendakwa ketika kejadian, mereka baru sahaja pulang dari tempat kerja sebelum tiba-tiba suspek memeluk mangsa dari arah belakang.

“Suspek berusia 25 tahun itu dikatakan turut menutup mulut wanita itu sebelum menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan menggunakan pisau.

“Saksi cuba menyelamatkan mangsa namun dihalang suspek sebelum menolaknya.

Mangsa dibunuh di tingkat lapan sebelum suspek bertindak terjun dan ditemui mati di tingkat bawah apartmen tersebut.

“Susulan itu, suspek bertindak terjun dari tingkat lapan berkenaan sebelum ditemui maut di bahagian bawah apartmen tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa dikatakan mempunyai ramai kenalan lelaki dan suspek tersebut tidak menetap di pangsapuri terbabit.

Selain itu, mayat suspek juga ditemui dalam keadaan tertusuk tiang besi tempat parkir motosikal.

Sementara itu, jiran mangsa mendakwa, dia terdengar bunyi jeritan pasangan itu ketika berada di dapur sebelum mendapat khabar rakan senegaranya maut ditikam.

Mayat suspek ditemui dalam keadaan tertusuk tiang besi.

“Saya fikir mereka hanya bertengkar sebelum diberitahu rakan lain bahawa mangsa terbaring tidak sedarkan diri di hadapan rumahnya.

“Saya hanya kenal jiran itu warga Myanmar dah sudah lama tinggal di sini manakala lelaki itu saya tidak pernah jumpa di apartmen ini.

Turut meluahkan rasa bimbang, seorang wanita tempatan mendakwa kawasan perumahan yang dihuni mereka dipenuhi warga asing selain kerap mengganggu ketenteraman penduduk.

“Selalu saja warga Myanmar serta Vietnam di sini buat kacau bila mereka mabuk dan kemuncaknya hari ini apabila ada kes bunuh serta bunuh diri,” katanya. – MalaysiaGazette