GOOSE BAY, Kanada -Sebuah pesawat Air France yang dalam penerbangan ke Los Angeles dari Paris membuat pendaratan kecemasan di Kanada semalam selepas salah satu daripada empat enjinnya meletup, kata para penumpang.

Penumpang yang berada dalam pesawat komesial terbesar dunia, Airbus A380, menyatakan mereka terdengar letupan lima jam setelah berada dalam pesawat.

Pesawat yang baru sahaja melintasi selatan Greenland itu bergegar untuk beberapa minit, lapor The New York Times.

Kira-kira dua jam selepas itu, pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Goose Bay di Labrador, Kanada.

Gambar dan video yang dikongsi penumpang menerusi media sosial memaparkan logam yang koyak sehingga menunjukkan bahagian dalam enjin dengan penutupnya telah tercabut.

Syarikat penerbangan itu tidak menyatakan punca kerosakan tersebut.

Menurut penumpang, Sarah Eamigh, selepas 20 minit kejadian tersebut berlaku, kapten penerbangan mengumumkan sebuah enjin pesawat telah meletup.

Air France berkata, ia sedang mengurus untuk membawa penumpang terlibat ke destinasi mereka melalui lokasi sambungan di Amerika Utara. – Agensi