Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia setelah pihak kerajaan gagal memberi jaminan bahawa perenang Israel boleh mengambil bahagian dalam keadaan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan diadakan di Kuching berikutan keputusan kerajaan melarang atlet Israel memasuki negara ini.

Jawatankuasa itu yang mengambil keputusan tersebut pada mesyuarat di London hari ini berkata, Kementerian Dalam Negeri telah gagal untuk menyediakan ‘jaminan kepada para perenang para Israel menyertai kejohanan tersebut, serta bebas daripada diskriminasi

IPC berkata, ini meliputi pematuhan sepenuhnya dengan protol jawatankuasa yang berkaitan seperti lagu kebangsaan, bendera dan peruntukan visa.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata, apabila negara tuan rumah mengasingkan atlet daripada negara tertentu, kerana politik, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada melihat kepada penganjur baharu.

Israel telah meminta IPC menukar lokasi tuan rumah jika jawatankuasa itu tidak dapat memujuk Malaysia menarik balik larangan tersebut sebelum kejohanan di Kuching bermula pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Parson berkata, ketika IPC memeterai kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia pada September 2017 bagi menganjurkan kejohanan itu, ‘pihaknya mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan bertanding dalam kejohanan ini dengan jaminan keselamatan’.

“Sejak itu, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan baharu Malaysia mempunyai idea yang berbeza.

“Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, IPC kini sedang melihat tuan rumah yang baharu untuk kejohanan dunia itu, yang juga dijadikan sebagai sesi kelayakan untuk Kejohahan Paralimpik Tokyo 2020. – MalaysiaGazette