Sharudin Hamid

TEMERLOH – Tapak pelupusan sampah yang menjadi lokasi pembakaran berkampit-kampit beras dan barang keperluan asas lain yang tular di media sosial semalam telah dikenal pasti sebagai kawasan pelupusan sampah haram.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Saharudin Hamid berkata, pihaknya bertindak menutup sementara tapak pelupusan sampah haram di Jalan Pintasan Rumpun Makmur ke Gunung Senyum, Kuala Krau,Temerloh.

Tegasnya, tapak tersebut ditutup oleh pegawai SWCorp dengan mengikat pita garisan keliling di kawasan berkenaan kerana tiada kebenaran sebagai tapak pembuangan sampah.

Selain itu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung pelaku sebenar yang menggunakan lokasi itu sebagai tapak membuangan barangan berkenaan.

Sahrudin berkata, pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672) kerana membuang sisa pepejal terkawal di kawasan yang tidak dibenarkan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, tapak pelupusan sampah seluas 0.1 hektar itu disediakan pihak Felcra Berhad untuk kegunaan penduduk sejak lima hingga enam tahun lalu namun tidak dilesenkan melalui SWCorp.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati tapak tersebut ditutup awal pagi tadi oleh pihak SWCorp.

Selain itu, tinjauan mendapati tapak pelupusan tersebut juga telah ditambun dengan tanah oleh pihak ketiga.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan sebuah rakaman tular perbuatan membakar beras di sebuah tapak pelupusan sampah yang dikhuatiri membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau mohon maaf isu pembuangan beras