Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama calon BN Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin selepas taklimat kepada jentera BN Maran di Chenor hari ini.

MARAN – Para penyokong Barisan Nasional (BN) perlu ‘menghukum’ penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengarahkan usaha itu perlu dilakukan jentera parti kerana bekas timbalan menteri itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Ismail digugurkan sebagai calon BN bagi Parlimen Maran pada PRU15 dan bertindak ‘melompat’ dan menjadi wakil PN bagi kerusi Parlimen yang sama.

“Penyandang (Ismail) patutnya kena setia kepada parti, masa PRU14 dia bertanding atas tiket BN bila tak terpilih terpilih beliau tak sepatutnya melompat,” katanya ketika ditemui selepas hadir Bilik Gerakan BN Maran di Chenor hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang itu menegaskan, ahli-ahli parti kena bagi hukuman kepadanya sebagai satu pengajaran.

“Tak sepatutnya ada orang macam ini. Sepatutnya ada bila tak terpilih, melompat. Ini satu perkara tak sihat, sebagai ahli parti kena taat setia dengan parti,” ujarnya.

Terdahulu, semasa ucapannya, Wan Rosdy mengakui kali ini berlaku sedikit ‘kekecohan’ akibat tindakan Ismail Mutalib namun jentera parti kena memberi sokongan padu kepada calon BN, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dalam PRU15.

Lebih-lebih lagi isteri Ismail, Datin Seri Fatimah Kassim merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Maran, katanya.

Beliau juga yakin pencalonan Ismail tidak mendapat sokongan dari ahli-ahli PN terutama Pas di Maran kerana ahlinya dipinggirkan sebagai calon PN.

Selain mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Maran, beliau juga mahu jentera ‘merampas’ balik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dan Luit daripada pembangkang.

Menurut analisis, katanya, BN Pahang sukar ditembusi pembangkang namun ia boleh berlaku sekiranya parti ada masalah dalaman. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya bertanding tiket PN bukan sebab merajuk – Ismail Muttalib