Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib (tengah) memakai baju Perikatan Nasional berikutan bertanding dalam Parlimen P.086 Maran dengan parti tersebut selepas menghadiri Majlis Program Karnival Memperkasa Ekonomi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Daerah Maran 2022 di Arena Y.A.M Tengku Muda Pahang, Maran. Foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2022.

MARAN – Keputusannya menyertai Perikatan Nasional (PN) dibuat bukan sebab berjauh hati terhadap Barisan Nasional (BN) yang tidak menamakannya sebagai calon kerusi Parlimen Maran.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, segalanya berlaku selepas dirinya melakukan solat istikharah.

“Saya tak merajuk. Saya mula ingat nak berehat sahaja tapi semalam saya solat Istikharah dan memikirkan ke mana saya nak pergi,” jelasnya sebelum nekad membuat keputusan menyertai Pas.

Lebih-lebih lagi setelah mendapat izin daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri bertanding semula di kerusi Parlimen Maran sebagai calon PN.

“Mungkin Allah izinkan saya, tentukan saya diberi peluang untuk bersama dalam arena politik berbeza dan bertanding di Parlimen Maran,” katanya dalam sidang media sempena Program Karnival Memperkasa Ekonomi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Daerah Maran malam ini.

Semalam, Presiden Pas dalam satu majlis di Marang, Terengganu mengumumkan bahawa penyandang Parlimen Maran yang digugurkan oleh BN itu akan bertanding atas tiket PN kali ini.

Parlimen Maran mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Luit, Chenor dan Kuala Sentul.

Kerusi DUN Luit dan Chenor dimenangi Pas dalam PRU14 manakala kerusi DUN Kuala Sentul pula dimenangi Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Shahaniza yang merupakan ketua UMNO Bahagian Maran itu dipilih oleh pucuk pimpinan BN sebagai calon Parlimen Maran bagi menggantikan Ismail dalam pilihan raya umum kali ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Terpulang kepada Ismail jika mahu bertanding wakili PN – Wan Rosdy

1 Komen

  1. Haaa ..ko bertanding ketua UMNO Bhg pun kalah..lepas tu tak dicalonkan ko jd pengkhianat plak…PAS boleh laaa pungut sampah2 ni sebab PAS sendiri tak de calon lain

Comments are closed.