Datuk Seri Ismail Abd Mutalib. Foto AFFAN FAUZI.

LIPIS –  Barisan Nasional (BN) Pahang tidak menghalang Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib untuk bertanding di Parlimen Maran mewakili parti Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua calon berhak bertanding berasaskan prinsip demokasi menerusi parti pilihan masing-masing.

“Kita tidak boleh halang sebab beliau  dicalonkan oleh pemimpin tertinggi (PN).

“Jadi beliau rasa beliau (Ismail) layak untuk mempertahan kerusi Parlimen Maran yang disandang melalui parti tersebut (PN), terpulanglah,” katanya yang juga Menteri Besar Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Memorandum Perjanjian Persefahaman sempena Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak Jerangsang Mukim Tanjung Besar, Benta hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak Jerangsang Mukim Tanjung Besar, Benta hari ini.

Ismail yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Maran mewakili BN sebelum ini dan digugurkan sebagai calon BN pada kali ini dan digantikan dengan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu kemudiannya dipilih PN sebagai wakil parti mereka bertanding di Parlimen yang sama. – MalaysiaGazette