Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia di Tadika Kemas Kompleks Kediaman Kakitangan Awam, Nilai, Negeri Sembilan. Foto WAN NABIL NASIR, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya  baru sahaja memulakan rundingan berhubung perkara itu dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

“Itu masih pada peringkat awal, kita baharu sahaja memulakan rundingan dengan pihak berkuasa AS. Jadi belum ada apa-apa ketetapan, sebarang perkembangan kita akan maklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Mengula sama ada kemungkinan dua tahanan itu akan diletakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Saifuddin menjelaskan, rundingan sehingga kini belum memasuki fasa tersebut.

“Belum sampai ke peringkat itu, kita baharu sahaja berjumpa (tahanan berkenaan), membaca profil dan keadaan terkini mereka. Kita belum sampai ke tahap mereka pijak kaki di bumi Malaysia,” ujarnya lagi.

Mengenai status kedua-dua tahanan yang diklasifikasikan sebagai pengganas, beliau memberitahu, dakwaan perlu ditanya kepada mereka yang memberikan gelaran sedemikian.

“Kena tanya siapa yang anggap sebagai pengganas, sebab ini, mereka ditahan 2003. Sekarang tahun 2023, saya jadi jadi menteri baru 10 bulan, rekod yang mengatakan mereka pengganas kena rujuk kepada rekod yang lepas, saya tidak mahu komen,” katanya.

Ketika ini, dua rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. – MalaysiaGazette