Home Dunia AS sahkan Korea Utara lancar peluru balistik antara benua

AS sahkan Korea Utara lancar peluru balistik antara benua

Stesen televisyen memaparkan ujian peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara pada bulan Jun lalu, foto Reuters

WASHINGTON – Amerika Syarikat mengesahkan peluru berpandu yang dibedil oleh Korea Utara ke Laut Jepun semalam adalah peluru balistik antara benua (ICBM).

Setiausaha Negara, Rex Tillerson menyifatkan ia peningkatan ancaman baharu ke atas Amerika Syarikat dan dunia serta memberi amaran bahawa Washington tidak akan menerima senjata nuklear Korea Utara.

Pyongyang pula menyifatkannya sebagai ujian peluru berpandu balistik antara benua pertama yang berjaya.

Pegawai Amerika Syarikat percaya Korea Utara kini boleh menembak peluru berpandu ke Alaska.

Bagaimanapun, pakar mengatakan ia tidak boleh membedil sasaran secara tepat.

Hanya beberapa jam selepas ujian Korea Utara, Amerika Syarikat telah eminta mesyuarat segera dijalankan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan isu itu. Sesi penutupan badan 15 anggota dijangka pada 5 Julai ini.

Dalam kenyataannya, Tillerson berkata, negara itu mengutuk pelancaran senjata itu oleh Korea Utara.

“Ujian ICBM meningkatkan ancaman baharu kepada Amerika Syarikat, sekutu dan rakan kongsi, serantau, dan dunia,” katanya.

Tillerson menegaskan tindakan global diperlukan untuk menghentikan ancaman global itu..

Beliau turut memberi amaran mana-mana negara yang memberikan manfaat ekonomi atau ketenteraan kepada Korea Utara atau gagal melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan PBB sepenuhnya, membantu dan bersubahat dengan rejim berbahaya itu. – MalaysiaGazette