Pegawai penyiasat kanan 1MDB, Foo Wei Min hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Komplek Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 OKTOBER 2023

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana syarikat strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  untuk kerja-kerja sosial korporat (CSR) dan tujuan politik semata-mata.

Ia diakui sendiri oleh saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Asisten Komisioner Foo Wei Min ketika sesi soal balas bersama peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di sini hari ini.

Kata Wei Min, antara penerima yang pernah menerima dana daripada Najib adalah melibatkan ahli politik dan juga beberapa parti politik.

Difahamkan sebanyak lima cek telah dikeluarkan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu kepada UMNO berjumlah RM20 juta.

Bagaimanapun ketika Muhammad Shafee bertanya sama ada jejak wang dibuat Bukit Aman menunjukkan traksaksi Najib menggunakan sebarang dana untuk kegunaan peribadi,  saksi itu menafikannya.

Dalam nada bergurau, tanya Muhammad Shafee adakah Najib guna dana untuk memberi kapal layar mewah untuk drinya, Wei Min berkata tidak.

Untuk makluman juga, Wei Min telah ditugaskan menyiasat resit Najib dan penggunaan dana dalam akaunya sejak 10 tahun lepas.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung 8 November ini.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette