Sebastian Vettel
Vettel menjulang piala GP British di Siverstone semalam

LONDON – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel melupakan kesakitan untuk melakar kejuaraan Grand Prix British semalam.

Walaupun juara dunia empat kali itu bergelut dengan kecederaan leher sepanjang minggu lalu, namun dia berjaya mengenepikan saingan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.

Kali terakhir Vettel menjuarai litar Silverstone adalah pada 2009.

“Masalah utama Vettel ialah kecederaan pada lehernya.

“Semasa perlumbaan ia sangat menyakitkan dan dia menerima rawatan. Sebelum perlumbaan saya sangat risaukan tentang keadaannya.

“Tetapi kami terkejut dia berjuang di atas litar perlumbaan seperti singa yang lapar,” kata Ketua Pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene seperti dipetik Daily Mail.

Sementara itu, Vettel berkata, beliau tidak pasti boleh mengharungi sesi kelayakan berikutan kecederaan lehernya.

“Namun saya mampu mengharunginya,” ujarnya.

Pada perlumbaan tersebut, Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen di tempat ketiga.- MalaysiaGazette