logo luar negara
Gambar hiasan

BEIJING – Seramai 17 maut manakala 22 lagi cedera selepas sebuah lori merempuh sekumpulan orang yang sedang berkabung di luar sebuah krematorium, di tenggara China, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik Xinhua pada Ahad.

Kejadian itu berlaku sejurus tengah malam (1600 GMT Sabtu) di kampung Taoling, kira-kira 30 kilometer tenggara bandar Nanchang di wilayah Jiangxi.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Laporan media tempatan itu tidak menyebut sama ada krematorium itu sesak susulan gelombang jangkitan yang sedang melanda China.

Selepas hampir tiga tahun sekatan, ujian saringan dan kuarantin mandatori, China telah menarik balik dasar “sifar COVID-19” pada 7 Dis. Sejak itu, negara paling ramai penduduk di dunia itu telah menyaksikan peningkatan jumlah jangkitan.

Hospital dilaporkan penuh manakala krematorium berdepan dengan peningkatan permintaan.

Menurut anggaran, puluhan ribu orang mungkin maut setakat ini dan Beijing juga tidak lagi mengeluarkan maklumat mengenai jumlah kes harian.- BERNAMA