Friday, April 26, 2024
Home Sukan MHC buka permohonan jawatan kosong ketua jurulatih Speedy Tigers

MHC buka permohonan jawatan kosong ketua jurulatih Speedy Tigers

A. Arulselvaraj.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sedang mencari ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki selepas kontrak A. Arulselvaraj tamat berikutan kemelut kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Notis kekosongan jawatan itu diiklankan menerusi laman web rasmi MHC hari ini dan calon yang berminat mempunyai tujuh hari untuk menghantar permohonan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, ketua jurulatih baharu akan mengetuai kedua-dua pasukan senior dan remaja untuk kelayakan Olimpik berikutnya.

“Peranan itu terbuka untuk jurulatih tempatan dan luar negara. Dia akan mengawasi kedua-dua pasukan senior dan remaja dan kami akan memberinya mandat untuk melantik penolong jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan bagi penggal 2023-2027.

 

Majid Manjit berkata, ketua jurulatih baharu itu berkemungkinan besar memulakan tugas dalam tempoh sebulan selepas temuduga kerana mempunyai tugasan utama mempersiapkan Speedy Tigers bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 4 hingga 11 Mei depan, diikuti Piala Negara-Negara FIH pada 31 Mei hingga 9 Jun di Poland.

Sementara itu, Majid Manjit berkata, jawatankuasa berkenaan telah memberi tempoh seminggu kepada Arulselvaraj untuk menyerahkan laporan terperinci berhubung kegagalan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Paris.

“Kita telah berbincang mengenai laporan yang dihantar oleh Arulsevaraj, tapi kita perlukan lebih terperinci mengenai situasi sebelum semasa dan selepas kejohanan kelayakan (di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Jan).

“Kita mahu beliau maklumkan mengenai prestasi pemain, prestasi perlawanan demi perlawanan, keadaan pemain dan kecederaan kerana dimaklumkan beberapa pemain cedera, jadi kami perlukan laporan itu,” katanya.

Beliau berkata, Arulselvaraj juga boleh memohon kembali jawatan selaku ketua jurulatih sekiranya berminat.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC, S. Nishel Kumar berkata, dua calon dari Eropah telah menyatakan hasrat mereka untuk mengendali skuad kebangsaan.

MHC sebelum ini telah membubarkan kedua-dua pasukan senior dan remaja kebangsaan yang dibimbing Muhammad Amin Rahim selepas menduduki tempat ke-12 dalam saingan Piala Dunia Remaja 2023, tahun lepas. – BERNAMA