ALOR SETAR – Paras takungan air di Empangan Malut, Langkawi menyusut dan semakin menghampiri tahap kritikal susulan fenomena cuaca panas yang melanda pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, hari ini paras air di empangan berkenaan berada pada tahap 67.46 meter (m) berbanding paras kritikal 60.20m.

“Di Langkawi paras Empangan Malut, tempat utama kita simpan air di sana agak kritikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata, paras normal empangan berkenaan ialah 74 meter dan jika terus menyusut dan mencecah di bawah 66.6m, ia berada pada tahap membimbangkan dan tidak stabil.

Menurut Mohamad Yusoff, kerja pembaikan kebocoran paip dasar laut di Langkawi pula akan terus dilakukan bagi mengurangkan masalah gangguan bekalan air di pulau itu.

“Kerja pembaikan paip dilakukan dari semasa ke semasa… cuma tak boleh buat macam kerja di darat, kena tunggu musim ombak tak kuat, dalam sebulan paling kuat dua kali saja boleh turun buat kerja pembaikan, jadi makan masa agak lama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Yusoff berkata, paras air di empangan lain di Kedah setakat ini masih stabil dan terkawal walaupun berlaku penyusutan pengeluaran air di Sungai Muda hingga menjejaskan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan Pinang Tunggal.

Beliau berkata, setakat hari ini status semasa Empangan Pedu ialah 71.46 peratus dan Empangan Muda 45.2 peratus.

Menurut Mohamad Yusoff, selain menghantar bekalan air dengan lori dan membuat pemasangan pam bagi mengatasi masalah bekalan air kepada penduduk, kerajaan negeri juga akan mengadakan solat sunat istisqa untuk memohon supaya hujan turun.

“Insya-Allah tadi diputuskan dalam mesyuarat Exco kita akan buat program (solat sunat istisqa) secara agak besar-besaran di banyak tempat terutamanya yang tidak menerima hujan,” katanya. – Bernama