Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chain menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan dadah bernilai Rm14.15 Juta di Ibu Pejabat Daerah Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 21 MAC 2024.

KAJANG – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah rekreasi terbesar negara yang menjadikan kondominium mewah sebagai setor simpanan dadah bernilai RM14.15 juta untuk pasaran tempatan dan eksport  menggunakan kurier ke luar negara.

Dua suspek lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai penjaga setor, ‘runner’ dan juga ‘transporter dengan bayaran lumayan juga diberkas di Bandar Mahkota Cheras pada 19 Mac lalu.

Kejadian operasi ini hasil risikan selama hampir empat bulan sejak Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan JSJN Bukit Aman dan juga JSJN Kontinjen Selangor telah melancarkan dua serbuan berasingan bermula jam 11 pagi hingga 12.10 tengah hari di Bandar Mahkota Cheras di sini.

Khaw Kok Chain

“Dalam serbuan pertama di sebuah tempat letak kenderaan tingkat dua kondominium itu, polis menangkap dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 44 tahun dan merampas syabu seberat 62.7kilogram yang disimpan dalam kereta.

“Hasil soal siasat suspek, pasukan operasi kemudian polis membat serbuan ke atas sebuah unit kondominium sama.

“Pemeriksaan di dalam kediaman yang disewa kedua-dua suspek itu menjumpai pelbagai jenis dadah bernilai RM14.15 juta,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Pecahan rampasan dadah tersebut ialah syabu seberat 332.443 kilogram, MDMA (6.07 kg),  pil Erimin (8.1 kg) dan pil ekstasi (15.7 kg).

Katanya, siasatan awal polis mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan 2023 dan modus operandinya menyewa dan menjadikan kondominium mewah sebagai setor penyimpanan bekalan dadah itu.

Khaw Kok Chain menunjukkan dadah yang di rampas pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan dadah bernilai Rm14.15 Juta di Ibu Pejabat Daerah Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 21 MAC 2024.

“Bekalan dadah berkuantiti besar itu diperolehi dari negara jiran dan ia disimpan serta dibungkus untuk pengedaran menggunakan kenderaan ke pasaran tempatan, selain dihantar ke luar negara menggunakan khidmat kurier.

“Siasatan kami mendapati dua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai penjaga setor simpanan dadah, transporter yang bertanggungjawab menerima dan membawa masuk bekalan dari negra jiran serta menjadi runner untuk mengedar dadah kepada pelanggan yang dijanjikan barang terlarang itu dengan komisyen antara RM2,000 hingga RM3,000,” ujarnya.

Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek berusia 33 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan kesalahan PKP.

Polis telah mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan sebuah kereta bernilai RM38,000 yang disyaki digunakan sindiket itu berjaya dirampas menerusi serbuan itu.

“Keseluruhan dadah bernilai RM14.15 juta itu boleh diedarkan untuk kegunaan 1.8 juta penagih dadah dan suspek direman bermula semalam sehingga 25 Mac ini dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket ini yang dikhuatiri masih bebas di luar untuk tindakan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette