Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah keharmonian dan semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa penting untuk kestabilan negara.

Baginda bertitah, perpaduan rakyat berbilang kaum adalah hadiah yang bermakna buat baginda.

“Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, saya menerima hadiah kek, buah-buahan dan bunga. Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua buah tangan yang diterima.

“Namun, hadiah yang paling bermakna bagi saya adalah perpaduan antara kaum kerana ia merupakan kunci kepada kemakmuran negara,” titah menerusi laman Royal Press Office (RPO).

Sultan Ibrahim bertitah demikian bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.

Baginda bertitah, beliau mengutamakan konsep Bangsa Johor yang diamalkan sekian lama dalam penyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

“Konsep Bangsa Johor adalah satu contoh yang baik, serta tunjang perpaduan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah, Yayasan-Yayasan Diraja Johor juga berperanan aktif dalam membantu rakyat pelbagai kaum di Johor.

“Begitu juga, Yayasan Sultan Ibrahim Johor yang menghulurkan pelbagai sumbangan secara berterusan dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan.

“Saya amat mengalu-alukan jika ada pihak mahu menghulurkan sumbangan kepada Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan juga yayasan lain di seluruh negara dalam kita bersama-sama meringankan beban rakyat miskin,” titah Seri Paduka Baginda. -MalaysiaGazette