NUTP

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang guru melakukan pengantunan seksual  terhadap pelajar lelakinya berusia 17 tahun merupakan kesalahan etika sebagai seorang pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, pihaknya memandang serius isu itu kerana ia melibatkan profesionalisme guru terbabit.

“Bagi NUTP, ia melibatkan isu peribadi bukan perkhimatan tapi isu etika bagi seseorang guru. Jadi NUTP tidak menerima aduan seperti ini.

“Kedua, isu ini memang satu kesalahan besar dan perkara ini tidak semestinya akan berlaku antara cikgu dan murid, ia boleh terjadi antara pensyarah dan pelajarnya termasuk doktor serta pesakitnya.

Fouzi Singon

“Jadi mana-mana pekerjaan pun tidak membenarkan ada hubungan antara profesionalisme dengan orang yang berada di bawah perkhidmatanya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Fouzi turut meluahkan rasa terkilan mengapa pihak sekolah lambat bertindak atau menghidu mengenai hubungan antara guru dan murid yang terlibat.

Tegasnya, kerjasama semua pihak antaranya rakan sebaya serta guru perlu bersikap ambil tahu setiap perubahan pelajar bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

“Kadang-kadang pelajar, mereka tidak tahu perkara ini. Mungkin bila ada orang dewasa pula, mereka ambil kesempatan seperti kewangan, kemudahan.

“Ada juga yang orang dewasa ini tahu untuk berkata-kata manis kepada murid, jadi mereka ini mudah terpengaruh sebab belum ada pengalaman hidup lagi.

“Disebabkan itu saya kata, pembimbing rakan sebaya (PRS) sangat penting. Mereka ini perlu bergiat aktif untuk hidu perkara seumpamanya agar segera ditangani sebelum berlarutan.

“Kita di sekolah pun ada unit psikologi kaunseling untuk perkhidmatan dan juga unit kaunseling murid. Semua kemudahan ini sudah disediakan,” jelasnya.

Memandangkan kes masih dalam siasatan, Fouzi mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan program khas mengenai kesedaran berhubung etika dalam pendidikan.

Terdahulu, tular di media sosial seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa pada 12 Disember lalu.

Pengadu mendakwa guru yang berusia 37 tahun telah mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu kira-kira jam 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan.

“Polis akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Rraya untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebatan. – MalaysiaGazette