Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, selaku pengerusi bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) beliau memahami tugas berat sebagai Menteri Besar Kedah yang dipikul Sanusi ketika ini.

“Biar kita buat dalam urusan kerja masing-masing dulu, jika ada keperluan ke hadapan kita tengoklah, tapi tidak ada gaduh-gaduh.

“Saya tiada masalah dengan dia (Sanusi), jumpa di Parlimen, bersalaman elok, sembang elok, tidak ada masalah.

“Cuma di peringkat jawatankuasa pembangunan negeri, saya mewakili persekutuan, dia sebagai menteri besar, pengerusi bersama,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama kepimpinan, jabatan, agensi Kementerian Dalam negeri (KDN) Pengurusan Tertinggi, dan pengamal media, di sini, hari ini.

Pada sesi Dewan Undangan Negeri Kedah sebelum ini, Muhammad Sanusi  menyatakan kekecewaannya dengan mendakwa Saifuddin gagal mengadakan mesyuarat MTPN Kedah sejak lebih setahun untuk membincangkan projek infrastruktur antara kedua-dua kerajaan Pusat dan negeri.

Bagaimanapun, Saifuddin mendakwa Sanusi tidak boleh menyimpan rahsia kerana menggunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah politik yang menjadikan faktor mesyuarat itu tidak diadakan.

Sementara itu, Saifuddin yang merupakan Setiausaha Agung PKR berkata, kemelut dalaman kepimpinan parti itu di Sabah akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Tambah beliau, PKR merupakan sebuah parti terbuka yang mana terdapat perbezaan pimpinan di negeri tersebut.

“Kita akan cuba meredakannya dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Pada Ahad lalu, seramai 15 ketua cabang PKR di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah (SD) mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN. – MalaysiaGazette