KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu pertemuan dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan baru-baru ini dianggap sebagai simbol dan kesediaan untuk bekerjasama.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak timbul isu keberadaan MCA dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi N.06 Kuala Kubu Baharu.
“MCA kekal sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional (BN), jadi tak timbul macam mana ketiadaan MCA (PRK KKB).
“Beberapa hari lepas dalam pertemuan antara pemimpin Kerajaan Perpaduan, saudara Wee Ka Siong ada, duduk sebelah saya pun.
“Ketika saya mempengerusikan mesyuarat PH dan BN minggu lepas di Pusat Dagangan Dunia (WTC), wakil MCA, Datuk Lawrence Low juga hadir.
“Jadi (saya) anggap kehadiran itu sebagai simbol dan kesediaan kerjasama, saya tengok dari sudut positif,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan MCA tidak akan berkempen dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ.
Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa pembangunan politik parti di ibu pejabat MCA, 19 April lalu.
Kenyataan MCA ini dua hari selepas MIC yang juga rakan parti komponen BN memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu yang dijadual pada 11 Mei ini. – MalaysiaGazette