Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Rundingan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjalan dengan sangat positif.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.

“Yang saya boleh sebutkan ialah kita dalam proses perundingan. Sejauh ini positif? Sangat positif,” katanya.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian watikah Ketua Bahagian Penaja bagi Wawasan di seluruh negara di sini hari ini.

Mengulas kenyataan sebelum ini bahawa Wawasan dijangka bertanding di dua kerusi pada PRN Melaka, Saifuddin berkata, perkara itu belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad.

“Kita tak boleh sahkan apa-apa sebab ini semua dalam rundingan. Jangan sebut berapa kerusi dalam rundingan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, parti itu akan mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi wakil rakyat yang kini menjadi ahli parti itu.

Kerusi itu adalah DUN Bemban dan DUN Sungai Udang.

Menurut Hamzah, keputusan mengenai perkara berkenaan lazimnya dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Wawasan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur parti termasuk penubuhan bahagian dan cawangan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Hari ini, Wawasan menyampaikan watikah pelantikan kepada 160 ketua bahagian penaja di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here