Muhammad Aiman.

PERMATANG PAUH – Dewan Pemuda Pas Permatang Pauh mengingatkan Parti Gerakan supaya tidak merosakkan semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN) hanya kerana mahu mengejar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya pada pilihan raya akan datang.

Ketuanya, Muhammad Aiman Shamsul Bahrin berkata, usaha Gerakan menyasarkan kerusi berkenaan bukan langkah yang baik dari sudut semangat kerjasama dalam PN, memandangkan kerusi itu dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023.

“Rekod pilihan raya menunjukkan calon Bersatu, Izhar Shah Arif Shah memenangi kerusi N.10 Seberang Jaya pada PRN 2023, sekali gus kedudukan kerusi berkenaan sudah jelas dalam konteks pembahagian kerusi dan persefahaman politik PN.

“Gerakan lebih wajar memperkukuhkan gerak kerja di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu lebih besar, selain membina pengaruh dan akar umbi di kawasan terbabit.

“Jangan sampai kerusi yang telah dimenangi oleh rakan komponen sendiri pula dijadikan sasaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, usul untuk meletakkan sasaran di Seberang Jaya juga boleh menimbulkan persepsi wujud usaha mencetuskan persaingan dalaman dan memecahkan kesatuan PN dari dalam.

“Dalam keadaan rakyat mahukan sebuah gabungan pembangkang yang kuat, parti-parti komponen sepatutnya memperkukuhkan kerjasama, bukannya membuka ruang kepada pertembungan sesama sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Aiman berkata, walaupun Seberang Jaya bukan kerusi yang ditandingi Pas pada PRN lalu, pihaknya berpandangan kawasan itu mempunyai majoriti pengundi Melayu dan sewajarnya diberi pertimbangan serius dalam perbincangan agihan kerusi PN.

Katanya, perkara itu perlu mengambil kira demografi, kekuatan akar umbi, penerimaan masyarakat serta potensi kemenangan, dan bukan sekadar kepentingan sesebuah parti.

Beliau turut mengingatkan semua parti dalam PN supaya mengambil pengajaran daripada pengalaman PRN Pulau Pinang lalu di kerusi Bayan Lepas yang diwakili Presiden Gerakan.

“Pertembungan sesama sendiri di kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi hanya akan memberikan keuntungan kepada Pakatan Harapan.

“Jangan kerana mengejar satu kerusi, hubungan antara parti komponen yang lebih besar dikorbankan,” katanya.

Muhammad Aiman berkata, PN memerlukan kesepakatan, disiplin dan strategi bersama bagi menghadapi PRU dan PRN akan datang.

“Jika benar kita mahu melihat perubahan politik di Pulau Pinang, maka formula yang perlu digunakan ialah memperkukuhkan kekuatan masing-masing, bukan saling melemahkan. Jangan ulangi kesilapan lalu. Jangan berikan kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here