Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kes salah laku seksual yang melibatkan guru dan murid seperti yang dilaporkan oleh media pada hari ini.

Menurutnya, kes ini berada dalam perhatiannya dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan sedia ada.

KPM juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, polis mengesahkan sedang menyiasat laporan daripada keluarga pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan guru sekolahnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, remaja dan guru itu antara semua pihak yang terlibat dalam kes ini sudah dipanggil dan selesai diambil keterangan oleh polis bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 12 Disember 2023 daripada pengadu wanita tempatan berusia 46 tahun yang merupakan ibu kepada remaja tersebut.

Dalam laporan itu, wanita itu mendakwa dia melihat kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya yang berusia 16 tahun.

“Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa balik dari mengulang kaji pelajaran bersama guru matematik itu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu jam 4.50 petang yang mana mangsa yang sepatutnya balik ke rumah masih bersama guru matematiknya di perpustakaan.

Justeru, KPM menyeru semua pihak melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil.

KPM juga meminta institusi pendidikan di bawahnya untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuatkuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid. – MalaysiaGazette