Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berumur 24 tahun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson kerana mengalami strok haba.

Pesakit ini masih tidak stabil, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Manakala, satu lagi kes strok haba melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.

Mereka ini antara 28 kes penyakit berkaitan cuaca panas melibatkan 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba serta satu kematian dilaporkan setakat 25 Mac 2024.

KKM berkata, sebanyak lapas kes berlaku di Kedah, Perak (7), Selangor (3), Negeri Sembilan (3), Sabah (3), Perlis(2), Johor (1) dan Pahang (1).

Seramai 23 orang pesakit berumur di antara 20 hingga 59 tahun, manakala lima lagi remaja berumur di antara 13 hingga 19 tahun.

KKM berkata, kes kematian akibat strok haba dilaporkan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Dia dimasukkan ke hospital pada 31 Januari 2024 dan meninggal dunia pada 2 Februari 2024.

Dalam pada itu, 25 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan lain-lain aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran gelombang haba di negeri Perlis apabila suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C) sejak 19 Mac 2024.

Manakala sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling, Kulim), sebahagian negeri Perak
(Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar), Kelantan (Jeli, Kuala Krai, Gua Musang), Pahang (Jerantut, Bentong, Raub, Maran, Bera, Temerloh).

Selain itu, Melaka (Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin), Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Jelebu, Seremban, Jempol), Johor (Tangkak, Muar, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Segamat) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sepang mengalami cuaca panas Tahap 1 (iaitu suhu maksimum harian melebihi 35°C hingga 37°C).

Pada masa yang sama, MetMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April 2024.

KKM berkata, pendedahan kepada cuaca panas yang berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kejang haba, kelesuan haba dan strok haba. – MalaysiaGazette