Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon daripada Recep Tayyip Erdogan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kepada rakan sejawat Recep Tayyip Erdogan bahawa masyarakat antarabangsa harus menghentikan pembantaian rakyat Palestin di Gaza.

Anwar menyampaikan mesej tersebut selepas dihubungi oleh Presiden Turkiye itu hari ini.

“Kami gunakan kesempatan ini untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Palestin.

“Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.

“Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia,” kata Anwar dalam perkongsian di media sosial rasmi.

Perdana Menteri turut menggunakan kesempatan berkenaan sekali lagi mengundang Erdoğan untuk datang ke Malaysia.

“Usai perbualan dengan Perdana Menteri Shehbaz, saya juga menerima panggilan telefon daripada sahabat baik saya Presiden Recep Tayyip Erdoğan.

“Kami berbalas ucapan Eid Mubarak dan mendoakan agar masing-masing terus diberi kesihatan yang baik untuk memimpin negara.

“Presiden Erdoğan turut menzahirkan harapan agar hubungan antara kedua-dua negara dapat diperhebat terutama dalam bidang perdagangan dan pertahanan,” kata Anwar.

Untuk rekod Turkiye mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel dan baru-baru ini mengugut akan mengenakan sekatan eksport barangan ke Israel sehingga berlaku gencatan senjata dan peningkatan bantuan di Semenanjung Gaza.

Ugutan dibuat selepas kerajaan Israel enggan membenarkan Turkiye menghantar bantuan ke atas wilayah yang dikepung dan dibom.

Kementerian Perdagangan Turkiye pada Selasa berkata, negara itu tidak akan lagi menghantar kepada Israel barangan dalam 54 kategori merangkumi produk besi dan keluli, bahan api jet, peralatan pembinaan, mesin, simen, granit, bahan kimia, racun perosak dan batu bata.

Sehingga kini lebih 33,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan dan pengeboman tanpa henti di Gaza yang memasuki bulan keenam.- MalaysiaGazette