Alvin Chan

SUBANG JAYA – Setiap hari dilaporkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan dibuang.

Jumlah tersebut tidak termasuk pada perayaan tertentu termasuklah bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.

Bimbang dengan jumlah sisa makanan setiap tahun yang semakin meningkat, sebuah organisasi persekitaran dikenali sebagai What A Waste tampil menyelamatkan lebihan makanan.

Pengasas bersama What A Waste, Alvin Chan, 42, berkata, organisasi berkenaan berhasrat untuk menangani masalah pembuangan sisa makanan dalam negara dengan cara menyelamatkan lebihan yang masih selamat dimakan.

Bermula sejak lima tahun yang lalu, oraginsasi itu bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah penganjur majlis dan syarikat perhotelan untuk menguruskan lebihan makanan.

“Sebelum ini kami bermula di majlis perkahwinan. Kami bekerjasama dengan pengantin baru dan pihak hotel untuk menyelematkan lebihsn makanan di majlis perkahwinan.

“Kami selamatkan adalah bukan sisa makanan (bekas makanan yang sudah dimakan tapi tidak dihabis) ya, tapi lebihan makanan yang masih berada di tempat yang bagus, di dalam pemanas makanan, makanan sebegitu yang kami selamatkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya lagi, setiap lebihan makanan akan dipastikan selamat dimakan terlebih dahulu termasuklah mengenal pasti gas hijau yang dilepaskan bagi setiap kilogram (kg) makanan yang tidak dapat diselamatkan.

“Ini sudah menjadi signatur misi What A Waste. Kami sudah selamatkan lebihan makanan di lebih 600 majlis perkahwinan seingat saya setakat ini,” katanya lagi.

Jelas beliau, lebihan makanan yang selamat akan diagih kepada golongan yang memerlukan seperti B40, rumah-rumah kebajikan, golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ujar Alvin, What A Waste  telah diiktiraf sebagai organisasi pertama dalam negara yang melaksanakan perkhidmatan sedemikian.

Seringkali orang menyebut, bazar Ramadan akan menjadi tempat paling banyak berlakunya pembuangan sisa makanan.

Ekoran itu What A Waste sejak tiga tahun yang lalu membuka kiosk di beberapa bazar Ramadan yang kini ditumpukan sekitar Subang Jaya untuk memastikan lebihan makanan diselamatkan dan diagih kepada golongan yang memerlukan.

“Kami masuk edisi ketiga tahun ini, tema tahun ini Jadikanlah Ramadan tanpa pembaziran. Kami pergi ke beberapa bazar Ramadan di enam lokasi USJ4, USJ7, SS19, USJ Pinggiran 1, Puchong Indah dan Putra Height.

“Kami menempatkan orang-orang di bazar setiap habis berniaga makanan yang tidak habis dijual akan dihantar ke khemah kami berat makanan diambil dan dengan serta merta makanan diagihkan.

“Kalau nak hantar terus ke surau dan masjid boleh silakan tapi berdasarkan pengalaman saya beritahu kepada peniaga perlu semak dengan pihak masjid sama ada pada hari tertentu kebetulan banyak sumbangan makanan daripada orang awam jadi kemungkinan berlaku pembaziran.

“Kebanyakan peniaga kejar masa sewaktu masa berbuka puasa jadi simpan lebihan makanan para penerima yang terdiri daripada golongan B40 dan rumah kebajikan sekitar, warga emas atau OKU akan datang sama ada mereka atau wakil pun boleh untuk ambil makanan,” tambahnya.

Semasa perayaan Aidilfitri sudah tentu banyak majlis rumah terbuka dianjurkan.

Justeru, Alvin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan dengan syarikat korporat untuk ‘menyelamatkan’ lebihan makanan.

“Dari situ buka peluang kami selamatkan makanan daripada syarikat korporat juga dalam rumah terbuka, apa juga majlis. Di situ juga kami selamatkan makanan,” katanya lagi.

Beliau berkata, ketika What A Waste melaksanakan tanggungjawab utama menyelamatkan lebihan makanan dalam masa yang sama mereka juga dapat memastikan golongan memerlukan dapat dibantu. – MalaysiaGazette