Oplus_131072

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu berlaku adil kepada subkontraktor yang didapati lewat menyiapkan fasiliti tentera mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya perlu menyemak semula kontrak syarikat terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita tengok, kita semak dulu, kita kena buat apa-apa tindakan semestinya mengikut peraturan, kita tak boleh (ambil tindakan) sebarang.

“Saya telah diberitahu oleh pegawai projek itu akan siap pada Jun nanti, lagi sedikit belum siap.

“Kena denda atau tidak belum saya dapat pastikan sekarang, kena semak sebaik-baiknya, kena adil kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing berpunca daripada subkontraktor yang dicalonkan projek berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, subkontraktor berkenaan tidak dapat menjalankan kerja membabitkan pendawaian elektrik dan sebagainya.

Pada Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar memerintahkan pihak bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar menjelaskan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan.

Ketika ditanya tentang peningkatan kos projek susulan kelewatan itu, Alexander berkata, setakat ini kontraktor terbabit tidak mengemukakan sebarang rayuan.

“Kita punya kontrak, kalau dia tuntut apa-apa pun kita kena semak, kalau patut dibayar, kita bayarlah.

“Mungkin buat masa sekarang kita belum mendapat apa-apa rayuan daripada mereka.

“Buat masa sekarang tiada apa-apa lagi, kalau dia tuntut bayaran yang boleh peningkatan kos, sekarang tiada lagi,” katanya. – MalaysiaGazette