Perbincangan bersama industri industri logistik semalam di MOF.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengadakan perbincangan bersama industri industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel semalam bagi mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bertujuan mendengar isu yang dihadapi serta langkah-langkah penambahbaikan.

Menurut kenyataan MOF, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan yang berterusan.

“Namun, bagi mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.

“Mekanisme rasionalisasi subsidi diesel ini akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di mana permohonan boleh dibuat di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.,” katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican

Menurut kenyataan itu, sejurus selepas mendapat kelulusan di bawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, syarikat-syarikat Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) boleh mendapatkan ‘Fleet Card’ daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi.

“Dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini, kerajaan akan dapat menyalurkan hasil negara kepada rakyat yang benar-benar memerlukan antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan lain-lain bantuan,” ujarnya. -MalaysiaGazette