Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang gadis diperdaya seorang lelaki yang menjanjikan tawaran pekerjaan sebelum dirogol di sebuah hotel di Taman Dagang, Ampang, di sini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada hari sama.

“Siasatan awal polis mendedahkan mangsa berusia 17 tahun itu menyatakan bahawa dia telah ditarik secara paksaan oleh suspek untuk masuk ke dalam hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

“Mangsa memaklumkan dia kemudian dirogol sebanyak dua kali oleh suspek di hotel yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Nazruel Ekram, siasatan mendapati punca kejadian berlaku apabila mangsa dijanjikan pekerjaan oleh suspek dan diajak untuk berjumpa dengan majikan.

Bertindak atas laporan polis itu, tambah beliau, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas suspek berusia 36 tahun sehari kemudian di Hulu Langat..

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai peniaga positif dadah jenis Amphetamine, dan Methamphetamine.

“Kini suspek sedang direman selama enam hari bermula Khamis lalu sehingga 23 April ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada amang seksual terhadap kanak-kanak.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat,” ujarnya. – MalaysiaGazette