Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) boleh bekerjasama dalam memastikan kejadian kematian seorang murid ketika melakukan aktiviti merentas desa tidak berulang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM tidak mempunyai kuasa terhadap sebarang aktiviti melibatkan murid sekolah.

“Daripada awal kita sudah menegur perkara ini tapi mungkin tidak ada satu sifatnya yang tegas dan tuntas, jelas jadi berlaku juga merentas desa dalam suasana yang ada saya menyebutkan.

“Untuk ke depan saya ingat perlu ada satu SOP (prosedur operasi standard) yang lebih jelas dalam suasana suhu seperti itu. SOP itu okey, kita ada mengeluarkan arahan dan peringatan walaupun kita dari KKM kita hanya boleh menggesa dan menganjur tapi kita tak ada autoriti (kuasa) daripada segi penguatkuasaan.

“Jadi saya meletakkan itu bukan dalam bidang KKM tetapi KPM. Kita boleh bekerjasama,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor hari ini.

Beliau diminta mengulas kejadian seorang pelajar lelaki sekolah menengah dekat Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah, Kuala Pilah yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa pada 19 April lalu.

Dr Dzulkefly berkata, pihak sekolah seharusnya mempunyai rekod kesihatan setiap murid yang mempunyai masalah kesihatan.

“Sepatutnya begitu, ada pemberitahuan anak-anak yang punyai kelainan mobiditi seperti asma, perlu ada. Saya tahu ada sekolah yang tidak dapat mengemaskinikan rekod tapi ke depan nanti kalau berlaku kematian seperti ini saya ingin menteri dan KPM meningkatkan kaedah, penguatkuasaan mereka,” katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, dilaporkan berkata, remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain pukul 8 pagi.

Difahamkan, guru di lokasi memberikan bantuan pernafasan tetapi remaja berkenaan tiada tindak balas sebelum pihak sekolah menghubungi talian kecemasan 999. – MalaysiaGazette