Dipercayai ahli keluarga insiden dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak menunggu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi memohon orang ramai agar tidak menularkan foto dan video tragedi nahas dua helikopter yang mengorbankan 10 orang anggotanya.

Markas TLDM membuat seruan itu dalam kenyataan di sini bagi menjaga sensitiviti dan privasi keluarga.

Selain itu, katanya, seruan itu dibuat kerana tidak mahu menganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Tragedi berkenaan berlaku pada jam 9.32 pagi semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan Kem TLDM, Lumut.

Kejadian berkenaan menyebabkan kedua-dua helikopter berkecai dan 10 kru masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban.

TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. – MalaysiaGazette