Foto hiasan
PETALING JAYA – Faktor warna kulit dikatakan merupakan pertimbangan utama PH dan PN semasa meletak calon kerana masing-masing mahu mempertahankan sokongan tunggak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Timbalan Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan berkata, DAP menamakan Pang Sock Tao kerana menurut parti itu, beliau merupakan seorang wanita, berpengalaman dan muda.

Katanya, tiga ciri itu bagaimanapun juga dimiliki oleh Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar yang pada mulanya dicalonkan oleh DAP Selangor

“Asalnya, DAP Selangor berkenan meletak Saripah kerana memiliki tiga ciri utama iaitu wanita, berpengalaman dalam politik dan muda.

“Nama yang dikemuka DAP Selangor bagaimanapun ditolak oleh pusat, bukannya kerana Saripah tidak memenuhi syarat, malahan beliau mempunyai satu lagi kelebihan iaitu merupakan orang tempatan.

“Sebabnya ditolak hanya kerana DAP memerlukan seorang calon keturunan Cina pada masa ini,”  katanya dalam analisis yang diterbitkan Sinchew Daily.

Katanya, walaupun DAP mahu membebaskan diri daripada identiti “parti Cina”, termasuk meletakkan calon Melayu di Bentong dan Bangi, tetapi keadaan adalah mencemaskan di Kuala Kubu Baharu.

“Disebabkan keadaan yang mencemaskan, DAP terpaksa mengubah strategi dalam menghadapi pilihan raya di KKB.

“Pimpinan DAP menyedari bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan belum dapat memenuhi jangkaan dan harapan masyarakat Cina,” katanya.

Tian Yan berkata, di pihak lawan iaitu PN, keadaan seumpama juga berlaku apabila mereka meletakkan Khairul Azhari Saut daripada Bersatu dan bukannya calon Cina atau India dari Gerakan.

“Pilihan raya kecil ini telah dilihat oleh kedua-dua pihak sebagai perang untuk mempertahankan sokongan tunggak masing-masing.

“DAP mahu mempertahankan undi Cina dan India manakala PN mahu mempertahankan undi Melayu,” katanya.

Ujarnya, jika PN mencalonkan wakil Gerakan, maka warna kaum dan agama dapat dijernihkan dalam pilihan raya di KKB.

“Jika Gerakan yang bertanding, ia boleh menjadi satu pembahasan dan pilihan yang berkisar kepada soal polisi dan pentadbiran kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette