Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk sambungan perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak telah diberikan masa secukupnya bagi menjelaskan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika siasatan Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan ketika sesi soal balas antara peguambela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dengan saksi ke-49, Penguasa Kanan Nur Aida Arifin di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Kata Nur Aida, bekas Perdana Menteri itu diberi peluang mencukupi untuk menjelaskan secara terperinci mengenai tuduhan terhadapnya ketika disoal siasat.

Bagaimanapun saksi berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan peguam ketika siasatan, Najib tidak ditanya apa-apa soalan ketika dua dokumen ditunjukkan kepadanya.

Dokumen itu ialah mengenai perolehan Mastika Lagenda Sdn Bhd oleh 1MDB.

Soal Wan Azman, adakah Najib tidak disoal mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan keadaan keseluruhan membabitkan dokumen tersebut.

Nur Aida menjawab, itu bukan keperluan kerana pegawai penyiasat SPRM tidak meletakkan soalan spesifik ketika mengambil kenyataan Najib.

“Kita tunjuk dokumen dan minta beliau (Najib) jelaskan secara penuh mengenai dokumen yang dirujuk termasuk tindakan dan perkara berkaitan keseluruhan isu.

“Kita akan rakam dengan cara naratif dan saksi atau tertuduh diberi masa peluang untuk menjelaskan secara terperinci,” katanya ketika memberi keterangan dari kandang saksi di sini hari ini.

Sambung Nur Aida, pihaknya telah bertanya tentang dokumen itu kepada Najib.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette