Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi mengiringi calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Bersatu dalam proses mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimennya yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan yang akan diambil adalah berlandaskan kepada pindaan yang dibuat oleh parti, sebelum ini.

“Saya tidak perlu umumkan (tindakan yang akan diambil) ini sebagai satu strategi kita tetapi tindakan ini mengikut satu Perlembagaan Persekutuan, mengikut perlembagaan kita luluskan dalam Bersatu mengikut Akta Lompat Parti.

“Prosedur itu kita akan patuh supaya tiada kesilapan. Pihak bertanggungjawab akan dihadapkan, yang penting kita perlu ambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada wartawan selepas mengiringi calon PN di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Bersatu menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Anwar.

Muhyiddin turut berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu dengan mengambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh tujuh hari.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu, meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas.

Enam ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette