Ahmad Zahid menunjukkan kemahiran mengacau dodol pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Parlimen Jelebu & UMNO Negeri Sembilan di Pusat Khidmat Parlimen Jelebu, Simpang Pertang, di sini hari ini.

JELEBU – Timbalan Perdana Menteri mahu kenaikan gaji tertinggi yang bakal dinikmati penjawat awam di seluruh negara bergerak seiring dengan kualiti kerja yang lebih baik selepas ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerajaan sudah berkorban memberikan kenaikan gaji disaat kedudukan kewangan negara kurang memuaskan atas faktor tekanan ekonomi.

“Tentunya produktiviti dan prestasi amat diharapkan dan saya yakin pegawai kerajaan serta kakitangan (awam) keseluruhannya akan melipat gandakan produktiviti dan prestasi mereka.

“Saya tak nampak ada masalah besar untuk menuju ke arah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO itu hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Parlimen Jelebu dan UMNO Negeri Sembilan di Pusat Khidmat Parlimen Jelebu, Simpang Pertang, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu merangkap Exco Kanan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahmad Zahid Hamidi

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi mengumumkan berita gembira penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar tersebut akan lebih tinggi daripada itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut membidas pandangan sesetengah pihak yang menganggap pengumuman Perdana Menteri itu adalah ‘gula-gula’ politik ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang bermula Isnin lalu.

“Hari ini adalah (cuti umum) Hari Pekerja 1 Mei, (namun) apa pun dibuat kerajaan pastinya pelbagai interpretasi akan dibuat dan kita di pihak kerajaan tak pedulikan interpretasi itu.

“Sebagai sebuah kerajan yang bertanggungjawab, tentunya untuk memenuhi apa yang selama ini dijanjikan oleh kerajaan melalui Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette