Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN.

PUTRAJAYA –  Kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember tahun ini merupakan usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, berbeza dengan pendekatan pentadbiran sebelum ini, pengumuman yang dibuatnya hari ini bertujuan menaikkan pendapatan kelompok bergaji rendah dan mengurangkan kenaikan di kelompok yang bergaji tinggi.

“Bagi kalangan yang (bergaji) rendah mungkin cecah 25 hingga 30 peratus.

“..saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi,” katanya dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam ini.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).

Perdana Menteri berkata, kenaikan melebihi 13 peratus itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

“Walaupun pernah diperkenal dulu 35 peratus, tapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi mencecah lebih RM10 bilion,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Menyifatkan pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Perdana Menteri pada masa sama mahu golongan berkenaan supaya terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati.

“Diharap ini mendorong penjawat awam kerja lebih gigih, hentikan lembab, malas dan ketirisan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kena lebih tegas mengawal kalau ada kecelaruan atau ketirisan di jabatan kerajaan.

“Semua kementerian kena pantau supaya mulai bulan ini kita lihat peningkatan dalam semua aspek, jangan rakyat tunggu berjam-jam, tunggu kelulusan lesen lama, kena cekap kena ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini, Perdana Menteri berkata kenaikan gaji itu antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah.

Anwar berkata, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan. – BERNAMA