Keadaan motosikal jenis Honda RS150 ditunggang anggota bomba yang parah selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Jalan Padang Kerbau, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang anggota bomba cedera parah selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Jalan Padang Kerbau, Durian Tunggal, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Izzat Muhaimin Araham Shah, 26, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng mengalami patah tangan kanan dan kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 datang dari arah arah Taman Scientex menuju ke pekan Durian Tunggal.

“Siasatan awal mendapati setibanya di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Durian Tunggal membuat pusingan membelok ke kanan menuju Jalan Hj Salehuddin sebelum mangsa melanggar bahagian hadapan sisi kiri kenderaan berkenaan.

“Akibatnya, penunggang motosikal terbabit patah tangan kanan selain mengalami kecederaan dalaman dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka manakala pemandu 4×4 berusia 43 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pihak polis sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette