Digital Nasional Bhd (DNB)

KUALA LUMPUR – Digital Nasional Bhd (DNB) dan Ericsson hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan eMooVit Technology Sdn Bhd, Scania, SKF Malaysia dan Intel Technology untuk memangkinkan pendigitalan perusahaan dengan memanfaatkan rangkaian 5G di Malaysia.

Kerjasama itu menandakan inisiatif industri perintis yang akan membuka jalan kepada teknologi termaju untuk membolehkan pendigitalan perusahaan merentas pelbagai industri berbeza dan memacu Malaysia ke hadapan sebagai negara digital terkemuka.

Menerusi MoU itu, Intel akan menjadi rakan teknologi untuk bekerjasama dalam pembangunan use case 5G bagi merangsang penggunaan teknologi baharu oleh perusahaan.

MoU yang dimeterai dengan Teknologi eMooVit untuk merintis pengangkutan autonomi, Scania bagi pengurusan kenderaan dan KF Malaysia untuk pembuatan pintar, akan memperkasakan penciptaan penyelesaian, inovasi dan keupayaan, memanfaatkan ketersambungan 5G.

Ketua Pegawai Strategi DNB Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, dengan rangkaian 5G bertaraf dunia Malaysia berkedudukan sangat unik untuk mempercepatkan pendigitalannya.

“Rangkaian (5G kita) sudah meliputi lebih 80 peratus penduduk dengan mencatatkan prestasi dan pengalaman penggunaan antara yang terbaik di dunia.

“Untuk memacu lagi penggunaan 5G dalam kalangan perusahaan, DNB dan Ericsson telah memulakan program ini yang akan menjamin ‘lighthouse’ (venue khusus) untuk industri utama bagi menunjukkan potensi penuh pendigitalan dan 5G,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu, di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Ericsson, Börje Ekholm.

Sementara itu, Ekholm berkata kerjasama tersebut yang berdasarkan kepada pembangunan use case akan memanfaatkan infrastruktur digital yang ada di Malaysia, yang merupakan antara rangkaian 5G terbaik di dunia.

“Sudah tentunya kami bekerjasama (bersama-sama) untuk memastikan DNB mempunyai rangkaian dengan teknologi terkini — yang menjadikan teknologi kalis masa hadapan agar ia dapat memberikan prestasi yang konsisten.

“Infrastruktur digital berbeza daripada infrastruktur lain kerana ia memerlukan pelaburan berterusan untuk kekal bersaing. Kita perlu bekerjasama dengan DNB dan melakukan apa yang kita mampu untuk menyokong mereka dalam mengekalkan prestasi semasa,” katanya. – BERNAMA