M Kumarasan

JOHOR BAHRU – Empat suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6 dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, tempoh tahanan reman terhadap keempat-empat suspek itu tidak disambung.

“Tempoh tahanan reman dua suspek lelaki dan dua suspek wanita yang berusia antara 28 hingga 55 tahun selama empat hari tamat hari ini.

“Reman tidak disambung, terima Kasih,” katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, empat suspek itu akan diberikan jaminan polis sekiranya tiada keperluan untuk disambung reman.

“Untuk empat tangkapan yang direman sehingga esok (hari ini), sekiranya tiada keperluan, kita akan beri jamin polis, tetapi tertakluk kepada perkembangan semasa siasatan yang dijalankan,” jelasnya.

Difahamkan, keempat-empat suspek itu dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dekat sini, pagi tadi.

Pada 20 Julai lalu, Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika berada di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.

Susulan kehilangan kanak-kanak itu, polis menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita di sekitar Gelang Patah kira-kira pukul 1.30 petang Isnin lalu, bagi membantu siasatan.

Laporan orang hilang yang dibuat kemudian diklasifikasikan semula kepada kes penculikan sebelum seorang lagi suspek wanita ditahan pukul 12.15 tengah malam Selasa lalu.

Empat suspek daripada keseluruhan lima suspek yang ditahan berhubung kes itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari bermula Selasa lalu hingga hari ini.

Suspek kelima yang ditahan pukul 4.45 pagi Selasa lalu di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor bersama-sama mangsa pula kini masih dalam tahanan reman sehingga Isnin ini. – MalaysiaGazette