Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Pengalaman lucu yang dikongsi jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei ketika mewakili negara di pentas Olimpik menarik perhatian ramai.

Seperti yang diceritakan menerusi hantaran di Facebooknya, Chong Wei berkata, beliau terkedu apabila pakar psikologi yang dipanggil untuk mententeramkannya yang cemas sebelum turun ke gelanggang memanggilnya ‘Jason’.

Katanya, selepas ditegur namanya bukan Jason, pakar psikologi itu kemudian membalas dia mengetahui nama sebenar Chong Wei dan Jason adalah namanya sendiri.

Coach nampak I gelisah, dia tahu yang I dah cemas. Dia pun call Team Malaysia punya psychologist atau motivator (tak sure role) mari bagi ketenangan.

“Mamat ni pun sampai kat aku. Terus dia pegang tangan aku nak bagi motivational speech

“Jason, jangan cemas. Ini kali pertama kau I tahu. Tapi Jason, teguhkan mental dan emosi. Jangan cemas”.

“Aku pandang coach. Coach pandang aku. Kita heran. Sejak bila nama I Jason. Aku pun tiao “Weh bro. Aku bukan Jason la.”

“Mamat tu balas “ I tau. Jason ialah nama saya. Saya pun cemas gak. Ini kali pertama saya jadi psychologist untuk acara begitu besar. So sebelum I motivate u, I motivate i sendiri dulu”.

“Terus gelak beruk aku dan coach…Terus hilang cemas aku.. Maybe itu la cara tersendiri psychologist ini,” katanya.

Chong Wei berkongsi kisah itu sebagai nasihat kepada para atlet negara yang kini sedang beraksi di pentas Olimpik 2024 di Paris supaya tidak berasa cemas  walaupun mengakui ia adalah mustahil

Menurut tiga kali pemenang pingat perak Olimpik itu, beliau sendiri menggeletar tangan kerana cemas semasa pertama kali turun  beraksi di Olimpik menentang pemain Hong Kong, Ng Wei.

Dalam pada itu, Chong Wei turut berpesan kepada para atlet negara supaya memberikan aksi yang terbaik di pentas Olimpik demi lencana di dada.

“Yang menyokong seperti saya, jangan putus berdoa dan menyokong agar skuad kebaangsaan dapat kembali dengan emas pertama negara. Jangan cemas! Malaysia boleh!” katanya. – MalaysiaGazette