Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MalaysiaGazette

Oleh: Dr. Muhammad Afifi Abdul Hamid & Muhamad Safwan Mohd A’seri

KEPERCAYAAN kepada institusi kepolisan merupakan salah satu tonggak utama bagi menjamin kestabilan serta ketenteraman awam dalam sebuah negara. Menjadi kemestian dan kelaziman bagi rakyat dalam negara untuk menjadikan institusi kepolisan sebagai tempat bersandar bahu dan tulang berpaut sehari-hari bagi memastikan keamanan masyarakat dapat dikekalkan. Namun begitu, ada ketika dada-dada akhbar memaparkan tentang salahlaku yang berlaku dalam kalangan anggota polis. Terdapat insiden-insiden yang melibatkan anggota polis bermasalah seperti kes-kes pembunuhan, rogol, rasuah penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Walaupun hanya melibatkan sebahagian kecil anggota polis, namun ianya boleh memberi kesan yang besar terhadap keyakinan masyarakat ke atas keseluruhan institusi kepolisan.

Pada 15 Julai lalu, mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun, bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemui kira-kira jam 6 petang, dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. Kes pembunuhan Nur Farah Kartini menimbulkan kemarahan serta kekesalan dalam kalangan rakyat negara ini apabila suspek yang ditangkap merupakan seorang anggota polis. Suspek ditahan kemudiannya direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes pembunuhan ini adalah satu contoh yang mampu mencetuskan kontroversi dan mencabar kepercayaan masyarakat terhadap kepolisan di negara ini. Nur Farah
Kartini, seorang wanita muda yang dibunuh oleh seorang anggota dalam ladang kelapa sawit, telah menimbulkan reaksi dari masyarakat dan media. Insiden yang berlaku ini mendedahkan kelemahan sistem pemantauan dan disiplin dalam kepolisan sehingga membawa kepada kehilangan nyawa seorang rakyat awam.

Berikutan kes pembunuhan yang berlaku ini, tular di media-media sosial tentang contengan dinding yang berbunyi “Who do you call when police murder?” atau “Siapa yang akan anda telefon apabila polis membunuh|?”. Ayat-ayat seperti ini sedikit sebanyak mampu memberi kesan yang signifikan dalam menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepolisan di negara ini. Tidak dinafikan adanya satu dua kebobrokan dalam institusi ini sebagaimana kes pembunuhan yang berlaku namun adalah tidak adil untuk kita secara umum menghukum keseluruhan institusi ini. Laksana pepatah Melayu yang diberi nafas baru, Usah kerana nila setitik rosak polis se-Malaysia.

Institusi kepolisan merupakan tiang seri dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negara ini. Mereka tidak hanya bertanggungjawab dalam
menjaga peraturan dan ketertiban rakyat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menegakkan keadilan sosial masyarakat. Sebagai pengawal undang-undang, institusi kepolisan bertanggungjawab melindungi hak-hak asasi manusia dan memastikan setiap warga negara dapat hidup dalam suasana yang aman dan tenteram.

Adalah penting untuk menghargai serta menghormati peranan mereka tanpa menghasut rakyat untuk membenci institusi ini. Menghasut rakyat untuk memarahi dan membenci institusi ini hanya akan merosakkan kestabilan negara dan menghalang usaha untuk memperbaiki sistem keamanan sedia ada. Sebaliknya, kolaborasi yang erat antara kepolisan dan masyarakat dapat memperkuatkan lagi hubungan serta sikap saling percaya dalam usaha membangun komuniti yang lebih selamat.

Dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat tentang pentingnya keberadaan institusi ini sebagai tonggak negara, kita dapat menjaga keamanan serta menyokong pembangunan sosial yang berkekalan. Melalui pendidikan awam yang berterusan dan dialog-dialog yang dianjurkan, kita mampu memastikan institusi kepolisan di negara ini dapat berfungsi dengan efektif dan bermanfaat bagi seluruh masyarakat tanpa mengabaikan prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia. Di sinilah pentingnya peranan media dan masyarakat dalam memastikan keadilan.

Melalui liputan yang telus dan pendedahan terhadap isu-isu keadilan sosial, masyarakat berpeluang untuk menyuarakan kebimbangan mereka dan menekankan kepentingan akauntabiliti dalam pentadbiran keadilan. Liputan media yang meluas tidak hanya mempengaruhi persepsi awam terhadap sesuatu insiden yang berlaku tetapi juga menggalakkan tindakan awam bagi memastikan keadilan dilaksanakan dengan adil.

Selain itu, respons dari pihak berkuasa adalah penting dalam mengekalkan atau memulihkan kepercayaan kepada institusi kepolisan. Proses siasatan yang telus dan bebas dari sebarang pengaruh politik atau kepentingan peribadi adalah sangat diperlukan. Keterbukaan dalam memaklumkan kepada masyarakat mengenai perkembangan siasatan dan tindakan yang diambil terhadap anggota polis yang terlibat adalah asas kepada menjaga integriti dan kepercayaan masyarakat.

Selain itu, isu-isu yang muncul daripada kes seperti pembunuhan Nur Farah Kartini memberi ruang untuk meninjau semula dan memperbaiki prosedur dalaman yang
diamalkan institusi kepolisan di negara ini. Ini termasuk penambahbaikan dalam latihan untuk anggota polis dalam menangani situasi yang berpotensi bahaya serta meningkatkan kesedaran terhadap hak asasi manusia dan nilai-nilai etika profesional.

Pembaharuan ini bukan sahaja mengukuhkan prestasi kepolisan tetapi juga memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa langkah-langkah pencegahan sedang diambil untuk mengelakkan kejadian serupa berulang. Selain itu, kerjasama antara pihak polis dan masyarakat awam adalah penting dalam menggalakkan kepercayaan dan keamanan. Program-program komuniti seperti dialog terbuka, sesi pendedahan dan inisiatif kerjasama untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dan keadilan adalah antara langkah-langkah yang boleh membina jalinan kukuh antara polis dan masyarakat. Dengan membina hubungan yang lebih dekat dan saling percaya, pihak polis dapat berperanan dengan lebih efektif dalam melindungi dan menyokong kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

Secara keseluruhan, kejadian seperti pembunuhan Nur Farah Kartini menunjukkan bahawa menjaga integriti dan kepercayaan terhadap institusi kepolisan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melibatkan komitmen yang berterusan dari semua pihak untuk memastikan akauntabiliti, keadilan dan ketelusan dalam setiap tindakan serta keputusan yang diambil. Melalui usaha bersama ini, kita dapat memastikan bahawa kepolisan terus menjadi institusi yang dipercayai dan dihormati oleh masyarakat dalam menjalankan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keadilan sosial.

Penulis dari Center for Continuing Education (CCE), Sunway College, 47500 Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor