Peralatan tangki tunda yang canggih di Universiti Teknologi Malaysia digunakan untuk pembelajaran Senibina Kapal. Ia merupakan satu-satunya tangki tunda di Malaysia, dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara.

NEGARA kita yang banyak bergantung kepada laut. Kebanyakan perdagangan antarabangsa kita dibuat melalui lautan. Hasil minyak dan gas luar pantai merupakan sumber pendapatan utama negara. Kedudukan negara sebagai sebuah negara maritim yang penting terbukti apabila Malaysia
telah terpilih sebagai anggota Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sejak tahun 2005 sehingga kini.

Perkembangan industri maritim memerlukan kapal dan struktur marin yang dibina di limbungan kapal, sama ada di dalam atau luar negara. Kini terdapat kira-kira 120 limbungan berdaftar yang sedang beroperasi di Malaysia. Limbungan kapal ini terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk pembinaan kapal, pembaikan kapal, dan penyelenggaraan.

Seni bina Kapal adalah bidang khusus yang memberi tumpuan kepada reka bentuk, pembinaan, dan penyelenggaraan kapal dan struktur marin. Disiplin ini menggabungkan unsur kejuruteraan mekanikal, elektrikal, elektronik, perisian dan keselamatan untuk memastikan kapal dan struktur marin dapat beroperasi dengan selamat.

Lulusan daripada pengajian senibina kapal dipanggil arkitek kapal. Tanggungjawab utama arkitek kapal meliputi reka bentuk kapal, pembinaan dan penyelenggaraan. Bagi reka bentuk kapal, mereka berusaha mencipta kapal yang sesuai untuk fungsi khusus mereka, dengan mengambil kira
faktor seperti saiz, bentuk, sistem pendorongan dan bahan.

Mereka menggunakan pengetahuan mereka tentang kejuruteraan, dan perisian komputer untuk mencipta pelan dan spesifikasi terperinci, melakukan simulasi dan menjalankan ujian untuk menilai prestasi reka bentuk. Selain mereka bentuk kapal baharu, arkitek kapal juga boleh mengubah suai kapal sedia ada untuk meningkatkan prestasi dan keselamatan.

Semasa pembinaan, arkitek kapal mengawasi proses pembinaan untuk memastikan pematuhan kepada spesifikasi reka bentuk. Penyelenggaraan melibatkan menjalankan pemeriksaan dan pembaikan berkala untuk memastikan kapal dalam keadaan optimum dan mematuhi peraturan
maritim antarabangsa.

Kini terdapat tiga universiti dan sebuah politeknik di Malaysia yang menawarkan pengajian di dalam bidang pengkhususan seni bina kapal. Politeknik Bagan Datuk menawarkan program Senibina kapal di peringkat diploma.

Di peringkat Ijazah Sarjana muda, Universiti Kuala Lumpur menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Senibina dan Pembinaan Kapal) dan i Universiti Malaysia Terengganu menawarkan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal. Universiti Teknologi Malaysia menawarkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Senibina Kapal & Kejuruteraan Luar Pantai. Ini merupakan satu-satunya program Senibina kapal yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda bidang kejuruteraan.

Untuk makluman, terdapat perbezaan di antara ijazah bidang Kejuruteraan dan bidang teknologi kejuruteraan bergantung kepada kepada penekanan yang diberikan di dalam kurikulum masing-masing. Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan memberi tumpuan kepada aplikasi praktikal dan pengalaman praktikal, yang mana pelajar untuk melaksanakan dan mengendalikan teknologi kejuruteraan. Graduan biasanya bekerja dalam peringkat penyelenggaraan dan menyelesaikan masalah kejuruteraan praktikal.

Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan pula ialah program yang menekankan pengetahuan teori dan konseptual. Ia melengkapkan pelajar dengan pemahaman yang mendalam tentang prinsip dan teori kejuruteraan, menyediakan mereka untuk menangani cabaran yang kompleks dan menyumbang kepada kemajuan teknologi. Graduan kejuruteraan akan bekerja dalam bidang reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan. Hanya lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan yang layak mendaftar dan mendapatkan lesen jurutera profesional dari Lembaga Jurutera Malaysia.

Kedua-dua ijazah adalah diiktiraf tetapi memenuhi minat dan matlamat kerjaya yang berbeza. Jika seseorang berminat dalam penyelesaian masalah dan reka bentuk secara teori serta berdaftar sebagai Jurutera Professional , ijazah Kejuruteraan mungkin lebih sesuai. Sebaliknya, jika sesorang lebih suka dengan kerja di lapangan dan praktikal, Ijazah Teknologi Kejuruteraan boleh jadi lebih sesuai. Secara khusus, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Senibina Kapal & Kejuruteraan Luar Pantai di Universiti Teknologi Malaysia direka untuk memenuhi keperluan kejuruteraan industri maritim dan luar pantai dengan menyediakan pengetahuan khusus yang diperlukan oleh industri ini.

Untuk latihan khusus bidang rekabentuk kapal, pelajar di Universiti Teknologi Malaysia menggunakan perisian rekabentuk berbantukan k omputer di samping menggunakan peralatan tangki tunda yang canggih. Ia merupakan satu-satunya tangki tunda di Malaysia, dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara. Program ini menyediakan pelajar pengetahuan dan kemahiran profesional untuk pekerjaan dalam industri kejuruteraan marin/luar pantai termasuk mereka yang terlibat dalam reka bentuk, pembinaan kapal, pertubuhan pengelasan marin dan pihak berkuasa berkanun, pengeluaran minyak dan gas luar pesisir, dan seni bina tentera laut.

Penulis ialah Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast