Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kerajaan menepis dakwaan kononnya cuba memainkan isu Akta Pengambilan Tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, isu Kampung Sungai Baru itu merupakan isu lama yang telah diketahui banyak pihak.

Malah, katanya, apa yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu berhubung perkara itu merupakan naratif lama dan keputusan mahkamah mengenai perkara itu telah ada.

“Saya menepislah dakwaannya, kita pun dah dengar sendiri dan saya rasa kita perlulah bercakap dari segi faktalah…kita pun dah tau faktanya bagaimana,” katanya selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya sepanjang Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dr Zaliha melepaskan kenderaan sebagai gimik perasmian Persimpangan Bertingkat Lebuhraya sepanjang Sultan Iskandar, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim mendakwa kerajaan cuba menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengelirukan penduduk di kampung berkenaan.

Dalam rakaman itu, Rafidah berkata, jika sesuatu tanah hendak diambil oleh kerajaan ia perlu mendapatkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah.

Beliau turut memberikan contoh buku yang boleh dirujuk untuk pengesahan sebagaimana dakwaannya itu.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan, beliau sememangnya mahu melihat isu-isu seperti itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Selaku menteri tentulah saya mahu melihat isu-isu seperti ini diselesaikan dengan segera dan isu-isu atau pun naratif itu sebenarnya telah lama.

“Jadi, kita pun sudah tahu ada keputusan mahkamah, contohnya dan ada dua kumpulan penduduk, ada yang bersetuju ada yang tak bersetuju. Yang bersetuju pula melebihi 68 peratus, yang tak bersetuju lebih kurang 30 peratus lebih sahaja.

“…jadi, sudah tentu apabila kerajaan mahu meneruskan projek tersebut kita melihat kepada keperluan majoriti dan ini saya rasa kita kena perbetulkan naratif ataupun fakta-fakta yang salah yang mungkin dibawa oleh sesetengah orang,” ujarnya.

Beliau juga telah melihat temubual terhadap penduduk di kampung berkenaan yang bersetuju di mana mereka telah datang dengan naratif mereka sendiri.

Katanya, apa yang dikatakan oleh mereka itu sebenarnya situasi yang berlaku

Ujarnya, sebagai kerajaan sudah pasti pembangunan merupakan suatu perkara yang turut diberi keutamaan.

“Sebab bagi saya pembangunan di Kampung Sungai Baru itu kalau kita dapat laksanakan itu menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kampug Baru khususnya dan Kuala Lumpur amnya,” katanya. – MalaysiaGazette