Kumar menyampaikan sijil penghargaan kepada Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dalam Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis akan mendedahkan motif penculikan kanak-kanak perempuan yang diculik di pusat beli-belah di Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini pada 20 Julai lalu selepas siasatan selesai.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, langkah itu diambil agar siasatan yang kini sedang berjalan tidak terganggu.

“Setiap kejadian jenayah pasti ada motifnya. Kita sudah sambung reman suspek seperti saya maklum semalam dan saya akan memberi serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Ketika ini siasatan sedang berjalan dan saya tidak mahu mendedahkan apa-apa selagi siasatan tidak selesai, biar pihak polis jalankan siasatan, selesai sahaja baru kami dedahkan maklumat seperti motif dan sebagainya.

“Kalau saya beritahu awal (motif kejadian culik) mungkin akan mengganggu proses siasatan tersebut dan setiap kejadian itu ada motifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kumar berkata, berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan, kanak-kanak itu, Albertine Leo Jia Hui, 6, dilaporkan selamat dan tiada kecederaan fizikal.

“Mangsa tiada kecederaan dan laporan kesihatan mengesahkan kanak-kanak itu selamat.

“Kejayaan menyelesaikan kes penculikan kanak-kanak ini adalah kejayaan signifikan yang direkodkan Polis Johor,” katanya.

Semalam, suspek lelaki berusia 31 tahun yang ditahan bersama mangsa di sebuah bilik hotel murah di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lalu, disambung reman sehingga Ahad ini.

Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga Jumaat lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman bagi mereka tidak disambung.

Pada 20 Julai lalu, Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika berada di pusat beli-belah tersebut.

Susulan kehilangan kanak-kanak itu, polis menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita di sekitar Gelang Patah kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 22 Julai lalu bagi membantu siasatan.

Kumar kemudian mengklasifikasi semula laporan orang hilang yang dibuat bapa mangsa sebelum ini, kepada kes penculikan. – MalaysiaGazette