Sebahagian daripada warga asing yang ditahan di sebuah kilang kerana tidak memiliki permit kerja yang sah

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 110 warga asing dan seorang majikan warga tempatan selepas melakukan serbuan menerusi Ops Bersama di beberapa daerah dari Isnin sehingga semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berasingan itu dilakukan selepas mendapat aduan dan maklumat awam berkenaan kehadiran warga asing termasuk mereka yang bekerja dipercayai tanpa permit sah.

“Seramai 791 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa sepanjang operasi penguatkuasaan dijalankan. Tangkapan melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pengurus sumber manusia di sebuah kilang di Kulai berusia 31 tahun.

“Warga asing yang ditahan adalah 52 lelaki warga Bangladesh, 25 lelaki dan sembilan wanita Indonesia, empat lelaki Filipina, dua lelaki Pakistan, 10 lelaki dan dua wanita Myanmar, seorang wanita Kemboja, empat lelaki India serta seorang lelaki Nepal.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 65 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit kerja yang sah dan Seksyen 15(1)(C) akta sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Warga asing berkenaan juga katanya, melakukan kesalahan bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sposial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Sementara lelaki warga tempatan terbabit ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI). Sebanyak 13 Notis untuk hadir ke pejabat atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi PATI,” ujarnya.

Menurutnya, operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor bersama-sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, IPD Kulai dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Turut terlibat Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Daerah Kulai, Majlis Daerah Kota Tinggi serta Jabatan Tenaga Kerja, katanya.

“JIM Johor dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa di Johor akan terus mempergiat lagi operasi bagi membanteras isu lambakan PATI,” tambah beliau.

Tegasnya, JIM Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette