Sebahagian warga asing yang ditahan di sebuah kilang peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 49 warga asing bersama seorang penjaga premis warga tempatan dalam serbuan di sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Ops Khas pada 30 Julai itu dilakukan susulan aduan orang awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Pihak kami berjaya menahan seorang wanita warganegara Malaysia disyaki sebagai penjaga premis, 23 lelaki warganegara Bangladesh, 17 lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Nepal, seorang lelaki warga China, lima wanita warga Myanmar, seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga China berusia dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ruslin, hasil semakan awal mendapati, enam lelaki warganegara Bangladesh telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki dan bekerja di lokasi serbuan.

Selain itu, dua lagi lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Serbuan dilakukan JIM ketika para pekerja sedang bekerja di kilang peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang.

“Pasukan operasi telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan dan 10 naskhah pasport Bangladesh.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah tiga naskhah pasport Myanmar, dua unit telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900,” katanya.

Kesemua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala penjaga premis warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Kilang ini juga dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen18, Seksyen 19 dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Seorang lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki China diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette