P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Undang-undang pelesenan untuk platform media sosial merupakan tamparan besar kepada demokrasi di negara ini, kata Presiden Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr. P. Ramasamy.

Bekas pemimpin DAP itu menambah, keperluan pelesenan untuk platform media sosial dan pemesejan dalam talian juga adalah bentuk kawalan kasar dan menyinggung perasaan ke atas kandungan yang mungkin tidak disukai oleh mereka yang berkuasa.

Malah beliau turut menyifatkan pelesenan media sosial itu sebagai keperluan yang hanya memenuhi kepentingan rejim yang berkuasa.

“Ia adalah satu tamparan hebat terhadap demokrasi, hak asasi manusia dan hak rakyat untuk berada dengan kerajaan yang berkuasa.

“Bagaimana ruang demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan dapat dipertingkatkan jika kerajaan seolah-olah menggugatnya atas nama kestabilan regim,” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau.

Tambah Ramasamy, pengenalan ciri-ciri yang tidak demokratik yang perlahan tetapi pasti itu adalah petunjuk Malaysia di bawah pimpinan kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang sedang menuju ke arah satu bentuk kerajaan diktator.

Ujarnya, sejak lebih setahun lalu, wajah sebenar kerajaan gabungan pimpinan PH telah muncul dengan janji pembaharuan, perubahan ke arah kebaikan dan sebagainya hanya tinggal kata-kata dan cadangan.

“Semua janji demokrasi dan kebebasan yang lebih luas sedang lenyap secara perlahan tetapi pasti. Apa yang wujud ialah kerajaan yang ingin terus hidup dengan masih berdasarkan sentimen asal kaum dan agama tanpa menghiraukan kos demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia,” katanya.

Jelas beliau, apa yang sebenarnya diperlukan negara adalah rangka kerja peraturan yang kukuh dengan pihak berkepentingan dalam penyebaran maklumat bukan kaedah kasar kawalan maklumat.

Tambahnya, undang-undang pelesenan baharu untuk media sosial dan pemesejan dalam talian pada asasnya akan mengukuhkan ciri tidak demokratik yang wujud dalam kerajaan sekarang.

“Namun pejuang demokrasi dan keadilan dalam kerajaan sekarang mewajarkan undang-undang pelesenan sekarang sebagai sesuatu yang perlu untuk memerangi jenayah siber dan buli siber,” katanya. – MalaysiaGazette