Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pekebun yang didapati menyewakan tanah kepada warga asing berdepan tindakan undang-undang oleh kerajaan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan para pekebun tidak bertanggung jawab itu.

Antaranya, melaksanakan pemutihan tanah pertanian membabitkan 78 blok seluas 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan di Cameron Highlands.

Pemutihan dilakukan melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp), bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bermula 2020.

“Menerusi program pemutihan tanah pertanian di Cameron Highlands itu, pematuhan syarat larangan memasuki kawasan rizab hutan simpan, sungai dan jalan dapat dikuatkuasakan.

“Sehingga 30 Jun lalu, status pelaksanaan pemutihan membabitkan seramai 1,661 penama (1,849 hektar) dikemas kini di dalam data maklumat pekebun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, program pemutihan itu membabitkan seramai 1,661 penama (4,570 ekar) dan telah dikemaskini di dalam data maklumat pekebun.

Manakala sebahagian tanah dengan keluasan 995 ekar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 3,566 ekar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.

Daripada keseluruhan tanah tersebut, 6,915 ekar telah diukur untuk dikemaskini dalam data maklumat pekebun.

Tambah Wan Rosdy bagi status kutipan sewaan tahunan pula, dari tahun 2020 sehingga 30 Jun 2024 sebanyak RM51.2 juta(58%) berjaya dikutip bagi tahun 2020 sehingga 30 Jun 2024.

Manakala baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 Juta (42%) bagi tempoh yang sama.

“Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ianya secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil dan menyumbang kepada kerugian kepada kerajaan negeri.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun 2024,” katanya. – MalaysiaGazette