Puad ketika ditemui pemberita semasa melawat jenazah Allahyarhamah di Jalan Ahmad Khan di Kluang hari ini.

KLUANG – Masih terlalu awal untuk mengumumkan kekosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Ahad ini.

“Kita dukacita kehilangan beliau apatah lagi saya pun pernah bersama-sama dengan beliau sebagai Ahli Dewan Negara.

“Tetapi untuk menghormati keluarga Allahyarhamah yang baru meninggal dunia, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan tentang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Saya akan keluarkan kenyataan esok atau lusa,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat jenazah Allahyarhamah di Jalan Ahmad Khan di sini hari ini.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini tengah hari tadi.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Sharifah Azizah meninggalkan empat cahaya mata iaitu
Wan Mohd Hibatullah, 40, Wan Mohd Hazwan, 39, Wan Mohd Hasbullah, 34 dan Wan Harizahtul Nadia, 33.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, negara kehilangan seorang pemimpin yang banyak jasa terutama kepada masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kehilangan Allahyarhamah amat dirasai terutama semua pihak yang mengenalinya.

“Walaupun dia sakit tetapi tetap juga bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin, dia turun padang. Dia banyak dahulukan masyarakat daripada diri dia sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Ahli keluarga Sharifah Azizah mengaminkan doa selepas jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah, Kluang, hari ini

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Asiah Md Arif berkata, allahyarhamah banyak berjuang dalam parti dengan memegang jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu selama lebih 30 tahun.

“Banyak jasanya berada dalam dunia politik lebih 40 tahun dan usianya banyak dihabiskan dalam politik sahaja. Kami amat rasai kehilangan beliau yang juga merupakan sahabat saya,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah di sini pukul 5.25 petang tadi dalam keadaan gerimis dan dihadiri lebih 300 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Mahkota meninggal dunia