Wan Saiful Wan Jan.- Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya melibatkan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan Majlis Media serta pembentukan kerangka kawal selia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional PN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, desakan itu dibuat kerana terdapat ketidakpercayaan yang besar terhadap kerajaan dalam isu kebebasan bersuara.

“Ada rasa tidak percaya yang besar kepada kemampuan dan ketelusan kerajaan dalam kawal selia media sosial.

“Kebimbangan yang ada ialah sekiranya peraturan yang diperkenalkan akan berlaku kekangan dalam kebebasan bersuara di media sosial.

“Tambah lagi dalam keadaan sekarang kerajaan secara terbuka dan berkali-kali mencadang dan mengarahkan untuk memadam hantaran yang tidak selari dengan pandangan mereka,” kata Wan Saiful.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, beliau setuju perlu ada peraturan terhadap media sosial supaya isu seperti penipuan dan buli siber tidak berlaku.

Namun kerajaan tidak boleh bertindak sebagai pengawalselia sebaliknya satu badan yang bebas seperti Majlis Media harus memikul tanggungjawan tersebut.

“Perlu ingat idea (asal) menubuhkan Majlis Media itu bila mendapati jika kerajaan mengawal selia maka kebebasan media boleh dipersoalkan. Hasilnya menubuhkan Majlis Media sebagai badan bebas dan mengawal selia sendiri.

“Sejauhmana kita boleh percaya kerajaan mengawal selia media sosial dengan baik? Adakah kita perlu kawal selia kendiri?

“Ini yang menyebabkan saya rasa kerajaan amat tergesa-gesa dalam hal ini. Ambil tindakan untuk memaksa peraturan kepada rakyat dan pengendali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus bersama pengamal-pengamal industri media mengenai perihal isu-isu semasa negara di pejabatnya hari ini.

Wan Saiful juga berkata, beliau tidak menaruh kepercayaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa bertindak atas arahan menteri.

“Dalam kes saya, saya bawa ke mahkamah melibat individu bernama Syukri Samsudin. Dia memfitnah saya, mahkamah arahkan dia datang dan selesaikan dengan cara dia baca permohonan maaf kepada saya.

“Sebelum bawa ke mahkamah saya sudah buat laporan kepada polis dan MCMC. Sampai sekarang di MCMC dalam tindakan. Di mahkamah sudah selesai. Kenapa MCMC begitu lembab?

“Kalau nak buat apa-apa peraturan kita tidak percaya kepada institusi bernama MCMC. Kebebasan MCMC dipersoal. Tambah menteri boleh kata kepada pengerusi, beri arahan. Mana kebebasan? Macam budak-budak kecil, budak sekolah pun cikgu tak cakap begitu,” katanya.

Kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial telah diwartakan pada 1 Ogos dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

Menerusi penguatkuasaan kerangka itu, semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu media melaporkan, Kementerian Komunikasi telah menghantar semula draf Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia untuk proses mengenal pasti dan memasukkan nama pihak berkaitan sebagai ahli pengasas.-MalaysiaGazette